Seksualiti Merdeka dan pengaruh homofobia Melayu

This is an article I wrote for Merdeka Review, published on 9th November 2011, commenting on the murkier aspects of the Malaysian public discourse surrounding the banning of Seksualiti Merdeka.

Pengharaman Seksualiti Merdeka yang diumumkan secara tiba-tiba pada 3 November dan kecaman terhadap perasminya, Ambiga Sreenevasan, adalah satu lagi sejarah hitam dalam perjalanan Malaysia ke arah era yang lebih demokratik. Mengikut PERKASA, MUIS, dan pelbagai badan agama yang lain, Seksualiti Merdeka mempromosikan fahaman liberal, budaya “songsang” dan melanggar ajaran Islam. Oleh itu, Seksualiti Merdeka harus dikecam dan diharamkan. Terdapat beberapa persoalan yang perlu diutarakan. Pertama sekali, adakah fahaman liberal benar-benar menyanggah dengan ajaran Islam? Kedua, apa sebenarnya yang “songsang” tentang Seksualiti Merdeka? Ketiga, apa sebenarnya dalam ajaran Islam yang dilanggari Seksualiti Merdeka?

Seksualiti Merdeka adalah sebuah acara tahunan yang bermula pada tahun 2008 sebagai forum untuk warga Malaysia berbincang dan bertukar pendapat tentang isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang lesbian, gay, biseksual, dan transgender. Seperti yang dijelaskan oleh penganjur Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik (gambar kanan), acara ini tidak mengajak orang awam untuk menjadi “gay” atau menukar jantina. Sebaliknya, acara ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran awam tentang golongan minoriti ini.

Selepas tiga tahun tanpa sebarang bangkangan daripada mana-mana pihak, Seksualiti Merdeka kini didepani dengan tohmahan bisa daripada pihak-pihak tertentu yang terdiri daripada orang-orang lelaki Melayu PERKASA. Minggu lepas, mereka berdemo di hadapan Masjid Negara dengan slogan-slogan yang tidak berpaksikan mana-mana fakta dan berfokuskan kepada perbuatan “seks sejenis”. Walaupun demonstrasi PERKASA di hadapan Masjid Negara adalah sah dan berpatutan di sisi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, objektif mereka untuk menyekat kebebasan golongan LGBT untuk berhimpun berbaur ironi.

Kemungkinan besar tentangan terhadap Seksualiti Merdeka tidak berkenaan langsung dengan agama, keamanan negara, dan sensitiviti orang Melayu. “Agama”, “keamanan negara”, “sensitiviti orang Melayu” adalah alasan yang sering dikitar semula jika isu-isu mengenai hak asasi manusia dan demokrasi meletup di sidang media, parlimen, internet, dan di kedai kopi. Pengharaman Seksualiti Merdeka sangat mirip dengan pengharaman perhimpunan BERSIH bulan Julai lepas; hujah yang disampaikan untuk mengharamkan keduanya adalah sama. Sudah tentu apa sahaja bentuk pengharaman yang dilaksanakan pada masa depan akan berteraskan alasan yang sama, diguna semula sehingga kosong intipati hujahnya.

Kesemua rakyat Malaysia – konservatif mahupun liberal – perlu diingatkan bahawa tidak semua orang Islam sama, dan tidak semua ajaran Islam ditafsir dan diamalkan dengan cara yang sama. Walaupun terdapat perbezaan pendapat antara orang Islam di Malaysia dan di luar negara, akhlak dan akidah mereka tetap berlandaskan ajaran Islam yang satu. Oleh kerana itu, PERKASA, MUIS, dan organisasi agama yang lain tidak berhak untuk memanggil diri mereka “wakil” kesemua umat Islam di Malaysia mahupun di dunia.

Terdapat orang-orang Islam, ulama dan penganut yang layak membincang tentang urusan agama sepert kyai K.H. Hussein dan imam Feisal Abdul Rauf yang menyokong hak-hak yang dituntut oleh golongan LGBT, terutamanya hak undang-undang untuk perlindungan daripada kekerasan dan diskriminasi terhadap orang-orang lesbian, gay, biseksual dan transgender. Mereka juga orang Islam dan percaya bahawa kesemua ciptaan Allah S.W.T yang pelbagai ragam ada hikmahnya. Islam “sebenar” tidak dimonopoli oleh orang-orang Melayu Malaysia tertentu sahaja, tetapi dihayati oleh orang-orang yang berbeza bangsa, jantina, dan orientasi seksual.

Pendek kata, tidak semua orang Islam menentang kebebasan golongan LGBT untuk menyuarakan keinginan mereka untuk diberikan hak-hak yang sama seperti orang-orang bukan LGBT. Seksualiti Merdeka tidak bersembunyi di sebalik “topeng” hak asasi manusia, bahkan tuntutan golongan minoriti adalah sebahagian daripada hak asasi manusia yang diiktiraf di seluruh dunia.

Persoalan lain tentang alasan pengharaman Seksualiti Merdeka mula timbul: sejak bila golongan LGBT mengancam “keamanan negara”? Bilangan mereka yang tergolong dalam kategori LGBT di seluruh pelusuk dunia adalah kecil. Mereka hanyalah minoriti yang jarang mempunyai pengaruh yang besar dalam arena politik, agama, dan media. Ini adalah kerana diskriminasi, prejudis, dan keganasan yang menular dalam masyarakat terhadap golongan minoriti seksualiti dan gender yang sering menghalang mereka daripada menjalani kehidupan mengikut sifat semulajadi mereka secara terbuka.

Dan “sensitiviti” siapa sebenarnya yang disentuh? Isu yang sensitif menjadi bahan kontroversi kerana isu berkaitan dengan seksualiti dan gender jarang diperdebatkan secara terbuka. Tanpa perbincangan terbuka, pengetahuan rakyat Malaysia – umat Islam Malaysia terutamanya – tentang kepelbagaian dari segi gender dan orientasi seksual akan terus dikongkong dan digelapi prejudis dan kesempitan pendapat. Prejudis dan kesempitan pendapat inilah yang menyumbang kepada fitnah dan maklumat yang tidak benar tentang program Seksualiti Merdeka sebagai “pesta seks bebas.”

Seksualiti Merdeka bukan untuk segelintir warga Malaysia yang mengenal diri mereka sebagai lesbian, gay, biseksual, atau trans sahaja tetapi sebuah forum di mana rakyat yang berbeza pendapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan secara sopan, intelektual, dan saling menghormati satu sama lain. Tindakan polis bagaikan serangan hendap semasa pembatalan program Seksualiti Merdeka minggu lepas terus menyempitkan peluang kaum minoriti gender dan orientasi seksual untuk bersuara dan berhimpun dengan aman.

Identiti LGBT juga bukan ciptaan budaya “Barat” tetapi wujud di kalangan kita – rakan, anak, ibu, bapa, isteri, suami – dan orientasi mereka wujud secara semulajadi dan tidak boleh diubah sesuka hati atau dipaksa. Maksud seksualiti bukan mengenai perbuatan seks semata-mata seperti yang diobses oleh khalayak ramai dan liputan media, tetapi mengenai perasaan cinta dan kasih sayang antara pasangan yang berjantina yang sama. Mengikut kajian yang dilakukan di beberapa negara perbuatan homoseks sering tidak melibatkan orang-orang yang menggelar diri mereka gay dan lesbian. Dengan kata lain, perbuatan seks sejenis atau heterosex tidak selalunya melibatkan identity LGB.

Bagi saya, badan-badan agama harus menangkis rasa takut dan benci terhadap kelainan dan kepelbagaian kudrat manusia dan mula mendekati dan membuka minda dan hati kepada golongan LGBT. Homofobia dan transfobia – perasaan benci dan takut terhadap orang-orang gay, lesbian, dan transgender – tidak mengenal agama. Ia berleluasa kerana sifat tidak berperikemanusiaan dibenarkan menyelinap masuk ke dalam minda masyarakat yang tidak boleh menerima perbezaan identiti, pendapat, dan pengalaman.

Malaysia jauh kebelakangan dalam kebebasan bersuara disebabkan budaya kita yang mengagungkan pangkat dan kuasa yang diperolehi melalui status istimewa yang diberikan kepada orang lelaki Melayu Islam. Budaya inilah yang paling kuat menindas yang lemah dan terpinggir dalam masyarakat kita. Badan-badan agama, pihak polis, dan persatuan ekstrim seperti PERKASA adalah sebahagian daripada budaya ini dan melambangkan contoh penyalahgunaan kuasa atas nama Islam dan undang-undang.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s