Laki-laki feminis, sila tampil ke hadapan

Dalam kolum saya di Merdeka Review baru-baru ini, saya membincangkan tentang tanggungjawab kita sebagai sebuah masyarakat dalam menangani isu misogyni (atau pembencian wanita di bawah dan atas sedar) di Malaysia. Hari ini, saya ingin menjemput pembaca untuk memikirkan tentang peranan lelaki dalam menangani seksisme dan penyertaan mereka dalam gerakan feminisme. Boleh dikatakan bahawa tanggungjawab yang lebih besar dalam membasmi wabak seksisme di Malaysia terletak di tangan lelaki. Mana tidaknya? Lelaki adalah pemangsa wanita dan kanak-kanak dalam kebanyakan kes gangguan dan keganasan seksual.

Lelaki, yang secara lazimnya adalah ketua-ketua keluarga dan agama, atau seorang lelaki yang rasa dirinya lebih alim, cukup asyik menguasai pergerakan wanita dan melarang itu dan ini. Wanita seolah-olah dibelenggu lelaki yang suka menindas atas niat jahat dan ‘baik’ yang tidak bertempat. Bukan tanggungjawab perempuan untuk menjaga diri bila melangkah keluar dari rumah, tetapi tanggungjawab lelaki untuk menjaga pandangan, tangan, organ kemaluan sendiri dan tidak memperkosa siapa-siapa.

Di negara Malaysia, kaum perempuan memang sudah tentu merendahkan pandangan mereka. Di tempat awam di mana wanita sering diganggu, ditegur dengan cara kurang menyenangkan oleh lelaki yang tidak dikenali, ramai orang perempuan hanya boleh menunduk ke bawah dan berpura-pura gangguan tersebut hanya khayalan semata-mata. Lelaki melihat, perempuan dilihat – itulah ketidakadilan struktural yang implisit dalam masyarakat patriarkal.

Seorang perempuan yang ‘membalas’ pandangan lelaki akan mempegunkan dan mencabar sang penglihat. Ya, dilihat secara intens oleh orang-orang yang tidak dikenali amat tidak menyenangkan. Ini adalah satu kenyataan yang hanya orang perempuan akan memahami kerana keselamatan kita di mana-mana selalu terasa tergugat. Untuk mengatakan bahawa kaum lelaki juga menduga masalah gangguan dan keganasan seksual maka keselamatan wanita sahaja perlu dititikberatkan adalah tidak sensitif dan memperkecilkan masalahnya.

Mengapa harus kita galakkan penyertaan lelaki dalam menangani gejala seksisme? Kerana lelaki mempunyai kuasa dan kebolehan untuk mengakhirnya. Tetapi masalah terbesar dalam penglibatan lelaki dalam perjuangan isu-isu wanita adalah kecendurungan lelaki untuk memimpin wanita-wanita dan mendominasi wacana feminisme. Ini adalah kerana lelaki yang feminis dianggap sangat istimewa bagi kita, dan juga kerana lelaki feminis biasanya mempunyai intelek tinggi dan bakat menulis dan berpidato.

Tetapi faktor ternyata yang ‘mengistimewakan’ lelaki feminis ialah cara bagaimana lelaki disosialisasikan dalam budaya kita untuk mempimpin, dan melindungi wanita (yang lemah). Disebabkan ciri-ciri ini, lelaki feminis sering dijadikan ‘spokesman’, atau jurucakap yang mewakili suara kita sebagai kaum perempuan. Wanita juga terlibat dalam mengagungkan laki-laki feminis; seringkali kita sendiri melantik lelaki sebagai pemimpin kita, walaupun memang kita mengakui wanita jarang diberikan pucuk kepimpinan. Realiti penuh dengan pelbagai paradoks, dan cakap tidak semestinya serba bikin.

Kita sebenarnya tidak mahukan lelaki untuk mewakili perempuan dalam mana-mana bidang yang melibatkan perempuan secara langsung. Contohnya, isu reproduksi, gangguan dan keganasan seksual terhadap perempuan adalah isu yang dialami oleh kaum perempuan dan lelaki tidak akan sesekali boleh meraih peranan ‘pakar’ dalam isu-isu seperti ini. Mengapa kita perlukan pula lebih penglibatan wanita dalam arena lain yang sudah tentu dikongsi wanita dan laki-laki, seperti politik, polis, agama, media, dan undang-undang?

Ini adalah kerana sudut pandangan perempuan adalah unik, dan kerana sudut pandangan laki-laki sering dikaburi keistimewaan atau kelebihan lelaki (male privilege). Sebagai contoh, kelebihan lelaki memberikan mereka keberanian menaiki pengakutan awam atau berjalan bersendirian pada waktu malam tanpa merisaukan risiko rogol. Kelebihan lelaki memberikan kelapangan daripada kerumitan dalam mengimbang tugasan rumahtangga dan kerjaya; kerana wanita (yang berkerjaya mahupun yang tidak) secara ‘semulajadinya’ mengangkut tanggungjawab yang lebih berat dalam mengasuh anak-anak, memasak, dan mengemas rumah. Kelebihan lelaki adalah mereka tidak perlu memikirkan tentang hal-hal seharian yang menyulitkan wanita – kerana mereka tidak mengalaminya sendiri.

Jika lelaki yang bergelar diri feminis terlalu gentar untuk menampilkan diri, sekurang-kurangnya mengecam seksisme dalam aktiviti seharian. Seksisme merendahkan martabat perempuan sebagai objek seks dan kilang bayi semata-mata. Seksisme juga menormalkan status wanita yang idak setaraf dengan lelaki. Akhir kata, wanita sangat perlukan sokongan laki-laki dalam perjuangan feminisme, bukan sebagai wakil atau pelindung, tetapi sebagai anggota keluarga, rakan, dan kekasih dalam perjuangan.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s