Kelompok anti-Hari Kekasih patut hentikan fikiran lucah mereka

Disiarkan di Merdeka Review, tanggal 14 Februari 2012.

Pertembungan pandangan berbeza tentang sambutan Hari Kekasih telah lama wujud dan akan terus kekal sampai bila-bila. Yang membuatkan penulis hairan adalah perkara yang paling ditentang keras oleh PAS, badan keagamaan seperti JAKIM dan yang sewaktu dengannya jarang diutarakan sama sekali. Bahkan perkara itulah yang dilihat menembus jambakan bunga mawar, kotak coklat, dan patung-patung teddy bear; iaitu pasangan yang berciuman dan bersenggama di luar nikah. Mungkin bagi khalayak yang menyambutnya tidak akan melihat dari sudut yang seksual, tetapi yang menentang sambutannya akan melihat yang itu dan hanya itu. Ini mendatangkan satu persoalan bagi kita semua, adakah fikiran mereka yang alim lagi berugama lebih peka dan terobses hanya dengan perkara yang seksual pada saatnya Hari Kekasih atau pada tiap-tiap masa?

Jika diselidik sahaja perkataan “maksiat” itu dan diteliti apa sebenarnya yang diselindungi di sebalik retorik ahli berugama yang berapi-api tentang gejala sosial, kita akan dapati hanya satu pertunjukan kuasa dan imaginasi lucah tentang hidupan belia masa kini. Ya, kita seharusnya khuatir dengan barisan pemimpin agama yang pantas memikirkan yang bukan-bukan dan tidak mempertimbangkan realiti bagaimana pasangan yang bercinta menyambut Hari Kekasih di Malaysia. Bagaimana PAS dan seangkatannya mendefinisikan “sambutan” Hari Kekasih sebelum menyarankan tangkapan pasangan beragama Islam yang menyambutnya? Definisinya sangat penting, kerana pasangan tidak boleh ditangkap tanpa garis panduan agama yang jelas. Adakah sambutan itu dilambangkan dengan pemberian bunga-bunga dan acara makan malam? Adakah PAS dan JAKIM akan melibatkan diri dalam aksi voyeurisme yang asyik-masyuk semasa mengintip pasangan yang berdua-duaan?

Mungkin saya terlalu kritikal melabelkan pemimpin agama, PAS, dan pihak berkuasa sebagai orang-orang yang miang kerana hanya berfikir yang bukan-bukan bila tibanya aura romantika Hari Kekasih. Minggu lepas, imej PAS yang keras anti-Valentine tetiba menunjukkan celah yang lebih lembut. Ketua dewan pemuda PAS, Nasruddin bin Hassan telahpun menetapkan satu garis panduan yang sangat teperinci bagi mereka yang ingin meraikan Hari Kekasih. Tetapi tahap keterperinciannya agak melucukan. Ya, Hari Kekasih itu bukan dalam Taqwim Islam, tetapi Hari Pekerja dan Hari Kebangsaan juga bukan dalam ajaran Islam tetapi kita tetap menyambutnya. Hari Kekasih adalah satu sambutan yang telah lama menjadi satu acara konsumeris yang melibatkan pembelian hadiah-hadiah dan perbelanjaan lumayan (dan bukannya hari peringatan seorang santos Nasrani).

Walaupun asal-usul Hari Kekasih ada hubung kaitnya dengan seorang santos Romawi bernama Valentine, ia mula dirayakan atas dasar percintaan pada zaman pertengahan Eropah di kalangan seniman dan penyajak Inggeris. Ini membuktikan bahawa sambutan Hari Kekasih dari titik permulaannya adalah sekular dan tidak mempunyai unsur-unsur agama Kristian langsung. Jika PAS dan seangkatannya benar-benar berpijak di alam nyata dan pernah merasai cinta (meskipun saya meyakininya 30%), mereka akan sedar bahawa sambutannya hanya satu ritual jiwangan konsumeris yang melampau dan jauh sekali daripada pesta seks bebas.

Saya cukup hairan dengan sesetengah kelompok yang mencurigai erti dan pengalaman percintaan orang lain. Kerajaan negeri Kelantan telah mengumumkan bahawa Hari Kekasih akan digantikan dengan Hari Suami Isteri, lantas menyempitkan erti cinta dan kasih sayang. Alasan utama adalah untuk membendung umat Islam daripada pergaulan bebas sempena Hari Kekasih yang, tanpa bukti kukuh dihubung-kaitkan dengan isu-isu ibu tunggal dan penderaan rumahtangga. Kerajaan negeri Kelantan begitu terobses dengan ikatan pernikahan, sampai menawarkan pembiayaian mas kahwin dan sebagainya sambil cuai daripada sedarnya kadar penceraian dan kejatuhan rumah tangga yang tinggi di Malaysia. Penyelesaiannnya bukan Hari Suami Isteri yang diraikan setahun sekali, tetapi keadaan kewangan, pekerjaan tetap, dan hubungan yang stabil sebelum berkongsi kehidupan bersama.

Tidak pernahkah mereka yang begitu asyik menbanteras Hari Kekasih itu fikirkan bahawa kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi itu bukan hasil daripada pergaulan bebas, tetapi daripada kurangnya pendidikan seks, maklumat tentang pengguguran janin yang halal, dan budaya yang menjatuhkan stigma ke atas ibu yang belum bernikah? Bilangan ibu tunggal bukan gejala sosial tetapi membayangkan realiti bahawa ramai pasangan suami-isteri belum bersedia mendirikan rumah-tangga kerana kurang mengenali satu sama lain, masalah kewangan, dan lain-lain. Pihak yang mengusungkan pemansuhan Hari Kekasih itu tidak pula menyedari masalah yang lebih besar daripada gejala sosial yang kononnya menjerat masyarakat kita mungkin terbit daripada kurangnya rasa cinta dan kasih sayang dalam masyarakat, dan bukan hanya antara suami dan isteri.

Mungkin tindakan UMNO untuk berdiam diri sahaja tentang Hari Kekasih adalah yang paling wajar dan tepat di saat yang genting ini. Kerajaan Malaysia sudahpun dicemuh di mata dunia dengan keputusan menghantar wartawan Saudi Hamza Kashgari kembali ke tanahairnya. Kerajaan Malaysia dan Najib Razak sendiri dikritik tidak berperikemanusiaan dan tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap seorang pemuda yang mungkin akan dihukum mati di Saudi Arabia walaupun telahpun meminta ampun atas kesilapannya.

Boleh dikatakan pihak berkuasa di Malaysia, daripada yang teratas hingga ke kuncu-kuncu bawahannya, sudah lali pada nikmatnya rasa cinta dan kurang upaya untuk menunjukkan kasih sayang sesama tetangga dan keluarga rakyatnya. Soal cinta dan kasih sayang tidak perlu dipolitikkan untuk menunjuk kuasa dan kealiman pihak-pihak tertentu. Biarkan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam meraikan percintaan dan kasih sayang dengan cara tersendiri, dan jangan jadikan fikiran lucah satu dalil hipokritikal untuk menyekat kebahagian orang lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s